Bayu menyanyi menerobosi kesunyian malam, aku duduk termanggu
mengenangkan peristiwa lama,kenangan lalu yang masih terpahat di hati,
wajah itu perlahan lahan muncul di dalam anganku, oh tuhan, sungguh ku
rindukan belaian dan kasih sayangmu, lama sudah kita terpisah, manakan
mungkin ku lupakan kau ibuku, bertintakan air mata ku ukir sebuah
nukilan hati yang tak mungkin hilang dari lubuk sanubari, semuanya
untukmu ibuku..
********************************************************************************
Jam
tepat menunjukkan pukul 4.30 petang, kakiku melingas ingin melangkah
keluar daripada ruang rumah untuk bermain layang-layang bersama temanku,
“ko nak pergi mana? Ko tak nampak jam baru pukul berapa!!?” tajam
suaranya sambil menjeling sinis ke arahku.. ah, hampa! Rupa-rupanya
pergerakanku sedang diperhatikan olehnya, ku usap layang-layang yang
dibelikan ayah, hatiku meronta, aku teringin terbangkan layang-layang
ini nun jauh di atas sana, mana mungkin terjadi jikalau kakiku dirantai
di dalam ini, otak geligaku pantas mencari solusi untuk keluar segera
daripada rumah, berputar dan terus berputar…hampa..”ibu tak sayang
Along, kawan sebelah mak dia tak pernah pun nak marah-marah keluar pukul
berapa pun, orang nak main pun tak boleh!” protesku dalam sepi.. angan
layang-layangku terbang ditiup hembusan angin..
Kedua-Dua Ibu Jari Kakinya Diikat Perca Kain Putih
Ketegasan
ibu sering menjadi kegusaran hati, siapa yang tidak kenal dengan ibu,
seorang pendidik yang sangat tegas di dalam mendidik anak bangsa, pabila
marah, suaranya umpama ngauman singa, pabila tersenyum indahnya seperti
bulan penuh di malam hari, kami empat beradik sangat takut dengan ibu,
baginya, jikalau seorang daripada kami membuat kesilapan, semua mendapat
habuan, tidak adil. Sakit…
Birat di badan sudah menjadi makanan,
lagi-lagi anaknya yang antagonis ini, sudah biasa bagiku menerima
sebatan dan libasan tali pinggang, sudah penat aku berlari-lari bagi
mengelakan diri dari dibedal ibu,keperibadian ibu amat berbeza dengan
ayah yang lembut serba serbinya, Setiap seorang daripada kami diberikan
tanggungjawab harian yang perlu disempurnakan, contohnya tugasan bagiku,
semenjak kecil,setiap malam aku wajib menyalakan ubat nyamuk Fumakkila
sebanyak 3kepingan di dalam rumah, menyapu sampah tepat pukul 9pagi,
menyiapkan kerja-kerja sekolah setiap malam walaupun sudah siap. (tak
tau aku siapkan ape lagi). “pergilah suruh angah, dia bukan buat apa
pun,Along jer kene buat semua nie hari-hari,entah apa-apa” monologku
sendirian. Ibu hanya tersenyum manis di depan timbunan kain yang sedang
dilipatnya tatkala melihatku terkinja-kinja meleraikan kepingan ubat
nyamuk, hatiku berbulu.
Deretan kereta memenuhi setiap pelusuk laman rumah.
Aku
leka memakan tomyam yang disediakan ibu,usai sahaja pulang dari
sekolah,lauk pauk sudah menantiku di rumah, tanggungjawab yang dipikul
oleh ibu tidak pernah diabaikan walaupun sesibuk mana ibu bekerja,Sedang
ku lahap meratah ayam tiba-tiba,“Along,petang nanti ikut ibu pergi
kedai baju, ibu nak tempah baju melayu untuk Along”, ujar ibu tenang,
“Hah? Rasanya raya dah lama lepas, mengapa nak tempah baju melayu? Ibu
nak tempah baju melayu nak suruh standby raya tahun depan ke? Colour ape
bu? Seluar dia ada kocek tak? Nanti ajak angah,epi ngan ami sekali kan?
Along nak baju Melayu yang macam kungfu malam tadi kat TV2 tue
tau”petahku berbicara, “Ko ikut jelah, nak buat baju pun susah!” jerkah
ibu, ok, fine, aku diam. Baju melayu pun baju melayulah. Ku hirup
perlahan tomyam air tangan ibuku perlahan. Nyum Nyum..
2bulan kemudian.
“Beliau
telah mengharumkan nama sekolah bagi pertandingan catur di peringkat
kebangsaan, menjadi johan bagi pertandingan bercerita peringkat negeri,
mewakili sekolah di dalam pasukan bola sepak peringkat daerah, menjadi
Pengerusi Kelab Bahasa Melayu, Pengerusi Kelab Catur dan Ajk Tertinggi
Badan Pengawas, walaupun berbadan kecil, bakat yang dimilikinya cukup
besar, dengan ini saya mempersilakan Ahmad Shafiq Othaman untuk menerima
Anugerah Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam tahun 2000 di
atas jasa yang telah disumbangkan kepada sekolah!” wajah polosku
tergamam! Patutlah ibu beria ia menyuruhku memakai baju melayu yang
ditempahnya dahulu, gemuruh tepukan bergema di dalam dewan, dari jauh ku
lihat ibu menyeka air mata, bangga melihat pencapaian anak yang sering
dilibas dan dibedalnya. Jiwa kecilku gembira kerana mendapat Piala
kerana bagiku ketika itu, Piala lebih penting, sungguh tidak matang!
Haruman Kasturi dan Kapur Barus Menusuk Hidung.
“Ibu!
Along dapat sambung belajar masuk asrama!, lepas nie Along dah tak
pasang ubat nyamuk lagi, Along dah tak kene libas lagi, Along dah besar!
Hehehehe! Padan muka ibu tak dapat kejar Along lagi” ujahku kepada ibu
sinis, Padaku, selepas ini aku bebas untuk main layang-layang, bebas
untuk keluar pada bila bila masa, bebas untuk beli apa-apa sahaja, oh
sungguh indahnya, tanpaku sedari titik hitam bermula seawal ku menapak
keluar daripada pintu rumah. Aku tidak cukup bersedia untuk berjauhan
dengan limpahan kasih sayang libasan ibu, aku tidak cukup bersedia
meninggalkan tugasan harianku, aku tidak cukup bersedia untuk
berlari-lari dari dibedal ibu, sepi.. bermulalah detik di mana ku
rindukan belaian seorang ibu.
Kehidupan di asrama mengajarku erti
berdikari, tiada lagi baju yang boleh dicampak-campak sesuka hati, tiada
lagi kereta menjadi pengangkutanku pergi dan balik sekolah, tiada lagi
kerja rumah yang ingin disiapkan walaupun sudah siap, diriku berubah
bertemankan rakan-rakanku , nun jauh di sana ibu mengharapkan
kepulanganku menjadi anak yang boleh dibanggakan dan menjadi contoh
untuk adik-adikku, tetapi aku semakin lama semakin jauh dari landasan
yang sudah diatur ibu, bodoh sungguh aku ketika ini, di sini aku mula
mengenal rokok, di sini aku mula mengenali ketandusan dunia luar, di
sini aku mencari erti menjadi seorang dewasa sedangkan masanya bukan
sekarang. Anak yang dulunya berbakat mula tenggelam di dalam mengharungi
arus kehidupan…… 3tahun yang menjengkelkan..
Mendung pagi mengiringi kesuraman hati,lantunan Yasin bergema sayu
“Ibu,
tadi kawan satu bilik dengan Along family dia bawakan sandwich, sedap
sangat Along makan tadi bu, ada inti Tuna dalam sandwich tue, siap ada
mayonis dengan timun, ibu sihat? Doakan Along jawab exam tak lama lagi,
kirim salam adik-adik semua yerk” gagang telefon ku letakkan lemah, aku
rindu masakan ibu, sungguh, selalunya, setiap hari lauk-pauk sentiasa
berubah, menu masakan penuh dengan khasiat, penuh dengan kasih sayang,
berbeza lidahku, sesedap mana pun makanan yang dihidangkan, manakan
mungkin mampu menandingi ibu, sorotan mataku memandang sepi hilai tawa
rakanku yang sedang dilawati keluarga di hujung dataran dewan makan.
Azan berkumandang memanggilku melaksanakan tanggungjawab Muslim. Langkah
ku atur perlahan menuju ke surau.
“Perhatian,perhatian kepada
Ahmad Shafiq, dorm Al-Razi, sila turun ke surau kerana keluarga anda
sedang menanti di bawah, diulangi sekali lagi ……. “ ah~ baru 2 hari aku
menghubungi ibu, mustahil ibu datang sepantas ini, pantas ku siapkan
diri, dari jauh sudah kelihatan adik-adik ku berlari-lari di sudut luar
surau, hatiku gembira tidak terkata, bukannya dekat jarak rumahku dan
asrama, hampir 90km jauhnya, ku lihat ibu tersenyum seperti
kebiasaannya, “Along, pergi ambil sandwich kat bonet kereta, ibu ada
bawakkan, kita nak makan dekat luar ke dekat dalam?” bicara ibu lembut,
aku terkesima, rasa bersalah yang amat, mengapa begitu kuat sekali
naluri keibuaan, keegoaan lelaki yang ku simpan hancur lebur, air mataku
berderai laju, sejauh ini ibu datang hanya untuk memberikanku sandwich
yang ku idamkan tetapi tidak pernah kupinta. Ibu terlalu memahami
anaknya ini.
Jemaah bersilih ganti bertukar saf di dalam surau kecil, gemersik suara imam memecah suasana
“Jom
wrestling ayah!!” jerit ibu, kami 4beradik sudah lali dengan arahan
ini, pantas ami memaut kaki ayah, angah panjat belakang ayah, epi tarik
badan ayah dan aku terus mengigit telinga ayah manja, jeritan ayah
meminta tolong tidak kami endahkan, ibu memaut manja pinggang ayah,
rutin kami sekeluarga pabila ada kelapangan bersama, suasana
gamat,hiruk pikuk di dalam rumah tidak kami ambil kira, bahagia yang
tiada penghujungnya, “ha, jgn ha~, geli!, wrestling ibu pula!!”,ibu pula
digomol kami sekeluarga, hilai tawa mewarnai kehidupan kami sekeluarga,
masih segar dalam ingatanku bagaimana ibu berbual kosong dengan ayah
selepas membeli tilam queen berharga RM450 untuk menggantikan tilam lama
di rumah kami, “ayah, ayah pernah terbayang tidak, kita dah ada kereta,
kita dah ada rumah, kita dah ada televisyen, sekarang nie pun ayah dah
nak beli tanah untuk rumah baru kita nanti” ujar ibu, tau ape jawapan
ayah? Simple dan easy “ ha’ah, tak pernah pun terbayang arinie dapat
beli tilam sampai harga RM450, kan bagus kalau kita beli 2nd hand jerk
semua tue”, kami sekeluarga tertawa, sudah lali dengan sikap ayah yang
sangat berjimat cermat hinggakan sayang untuk keluarkan duit, berbeza
dengan ibu yang sentiasa merancang sebelum membeli sebarang item, aku
kagum dengan perancangan kewangan ibuku, ibu sangat teratur, setiap
langkah yang ingin diambil akan diselidik dan dikaji sedalam-dalamnya.
Lumrah seorang wanita yang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Dan pabila datang 2 malaikat bertanyakan kamu……..
Hidup
tidak selalunya indah, kadangkala sinar mentari yang bersinar, tidak
semestinya terbit hingga ke petang, hasad dengki seringkali menular di
dalam kehidupan umat manusia sejak dahulu kala.
April 2005 segalanya berubah……
“ayah,ibu
rasa ada orang terbang dalam bilik malam tadi” ujar ibu ringkas, “awak
nie, malam tadi sebelum tidur ambil air sembahyang tidak? Mana ada orang
boleh terbang malam-malam”.
“ayah, kenapa ibu tak boleh
buang air besar? Perut bagaikan di ikat, selera makan ibu pun tidak sama
macam dahulu, apa yang jadi dekat ibu?”
“ayah, ibu mimpi pelik setiap malam, kenapa dengan ibu, seluruh inci tubuh ibu bagaikan dicucuk jarum, ibu salah makan ke ayah?”
Mei 2005 bertandang
Kesihatan
ibu berubah drastik, dahulunya ibu terkenal dengan ketangkasanya kini
hanya mampu terbaring sahaja, tubuh ibu yang dulunya gempal berisi kini
mula susut perlahan-lahan, selera makan ibu yang dahulunya normal kini
hilang entah ke mana, baju berlonggok tidak berlipat, rumah bersepah
tiada penyeri, menu restoran menjadi hidangan, Aku rindukan ibu.. Puas
sudah ayah bawa pelusuk tempat, daripada perubatan termoden hinggakan
perubatan tradisional, semuanya dijelejahi kami sekeluarga Impian kami
hanya satu, untuk melihat ibu kembali pulih seperti biasa,
Jun,Julai,Ogos
Ibu
terus bertahan.. ya allah. Kalau ini yang dicaturkan olehmu, kami
terima dengan redha, aku tidak mampu untuk menulis..walaupun sudah lama
berlalu, semuanya segar di dalam ingatan..terperinci. biar ku bogelkan
disini.
September
“Doktor jangan
ingat saya bodoh! Anak –anak saya semuanya pandai-pandai, otak mereka
semua cerdik, satu hari nanti,jaga doctor, biar anak saya yang tebus
semuanya,doctor bodoh!! jerkah ibu, kondusi ibu terlalu teruk, pipinya
cengkung, tangannya melidi, ya tuhan, mengapa tidak aku yang menanggung
semua ini, bukan ini yang dipinta, puas sudah doktor mendialisis
ibu,pinggang ibu ditebuk, darah ibu diambil entah kali yang ke berapa,
tapi penyakit yang menimpa ibu tidak mampu dikenalpasti, apakah ini
semua..
Oktober 2005
Peperikasaan
Sijil Pelajaran Malaysia kuharungi tanpa sebarang persediaan, tiada
kelengkapan, jiwaku kosong, aku tidak tahu apa yang perlu ku jawab, usai
peperiksaan, aku terus ke Johor Bahru untuk berjumpa ibu, hanya satu
yang ku inginkan, ku ingin melihat senyuman ibu yang amat kurindui, aku
ingin lihat ibu lepas dari seksaan, Hari Raya menjelma tiba, aku
terkenang senyuman ibu kerana dibenarkan kembali ke rumah, pesan doctor
kepada ayah, “jaga ibu sebaik-baiknya” , “Ayah,Along,Angah,Epi,Ami, ini
mungkin raya ibu yang terakhir, ibu dah ampunkan semua dosa anak-anak
ibu, ibu nak lihat anak-anak ibu Berjaya, Along, kau yang sulung, jaga
ayah, jaga adik-adik, jadi insan yang Berjaya, ibu minta maaf, ibu tak
mampu untuk bersama, jangan kecewakan ayah Along” sayu ibu bersuara,
“ayah, nanti bila leha dah tiada, ayah juallah semua emas,cincin dan
rantai leha, leha minta maaf dengan ayah, gunakan untuk belajar
anak-anak, jadikan anak kita insan berjaya dunia dan akhirat, leha
sentiasa ada dengan ayah”. Raya terakhir kami dapat bersama,tiada baju
raya seperti kebiasaannya, tiada samping yang diikat kemas oleh ibu,
tiada ketupat mahupun rending, keluarga lain gembira, kami semua
berduka,setia meneman ibu untuk bertemu Ya Rabbi.. “Ustaz,jikalau
sebelum ini saya pernah tinggalkan solat, apa yang perlu saya buat
ustaz, jikalau ini yang ditakdirkan, saya redha ustaz, semoga keluarga
saya terus bersama hingga ke akhir hayat, saya rindukan syurga tuhan
ustaz” tingkah ibu sayu..
28 November 2005
9.30
malam, ibu menghembuskan nafas yang terakhir, ku lihat senyuman
mengukir di wajahmu, ku lihat cahaya putih ada di wajahmu, janji tuhan
itu pasti. Kita terpisah di dunia, satu hari nanti ketemu juga di alam
sana. Selamat Hari Ibu. Semoga ibu mampu tersenyum di sana melihat
anakmu disini yang sedang mengejar kejayaan di penghujung perjalanan.
Sepi hati ayah genap 7 tahun tidak pernah dapat diisi, Along sayang
sangat-sangat ibu.. Selamat Hari Ibu…
Saturday, May 12, 2012
Rentetan Hari Ibu
12:40 AM
2 comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)







2 comments:
sedihnya..
al fatihah utk arwah ibu awk ye
alfatihah, 28/11, same with my birthday.
la tahzan
Post a Comment